BANGKOK – Thailand menghadapi peningkatan kes penyeludupan rokok haram yang tidak dikenakan cukai, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Pengarah Persatuan Perdagangan Tembakau Thai (TTTA), Thanyassarun Sangthong bimbang kesan buruk penggunaan rokok seludup terhadap kesihatan belia di negara itu.
Menurut beliau, hanya rokok yang diluluskan oleh pihak berkuasa boleh dipastikan keselamatannya kepada pengguna.
Penjualan rokok seludup secara online meningkat kerana kos operasinya rendah selain faktor tidak perlu untuk membayar cukai.
Pengguna juga berisiko kerana tidak mengetahui bahan yang terkandung dalam rokok seludup. Ini disebabkan pasaran gelap tidak tertakluk kepada pemeriksaan oleh polis dan kastam.
“Penjual rokok haram boleh mengakses beberapa banyak kumpulan pelanggan berbeza yang mereka mahu,” kata Thanyassarun.
Perdagangan produk tembakau haram secara online di Thailand meningkat dua kali ganda dari Julai hingga September tahun lepas, kata Thanyassarun sambil menyatakan bahawa penemuan itu berdasarkan tinjauannya sendiri.
Peningkatan itu dipersalahkan ke atas rokok yang diseludup ke sempadan. Lebih 99 peratus penjualan rokok seludup ditawarkan melalui Twitter (90 peratus) atau Facebook (9 peratus).
Jelas Thanyassarun, produk tembakau haram lebih mudah dibeli terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan ia popular kerana harganya yang murah dan rasa lebih enak.
Penjual online juga bebas mengiklankan produk mereka untuk mengurangkan harga, tidak seperti pesaing di pasaran, katanya.
Tinjauan TTTA dijalankan sejurus selepas kerajaan Thailand menaikkan cukai ke atas sebungkus rokok. Cukai rokok meningkat sangat tinggi sehinggakan orang ramai dikatakan ‘tidak merokok kerana harga rokok terlalu mahal’. – Agensi