KOTA BHARU – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyasarkan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang 10,000 (kilometer km) di seluruh negara menjelang tahun 2030.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek pembinaan DSK itu akan dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sepanjang 1,000 km denai tepi sungai dijangka siap pada tahun ini, selain ia merupakan strategi tindakan pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan punca penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
“Denai di tepi sungai itu akan menggalakkan aktiviti seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.
“Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut juga dapat menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa,” katanya ketika ditemui pemberita di denai Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian di sini petang tadi.
Terdahulu, Nik Nazmi mengadakan lawatan kerja di denai sungai itu dengan diiringi pencetus idea pasar terapung di Sungai Pangkalan Datu, Azli Mohd. Noor.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, selain itu DSK juga berpotensi untuk menyumbang kepada ekopelancongan setempat seperti wujudnya pasar terapung di kawasan Pengkalan Datu yang menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, projek rintis DSK yang diperkenalkan oleh NRECC di Pengkalan Datu di sini merupakan denai sepanjang 1 kilometer bermula di kawasan belakang Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini. – KOSMO! ONLINE