KUCHING – Kejayaan Hospital Sri Aman menjalankan pembedahan sumbing (Cleft Lip) yang pertama menunjukkan pentingnya kemudahan perubatan di segenap kawasan selain kakitangan perubatan.
Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata rakyat Sarawak sudah terlalu lama menderita dan dirugikan oleh jarak yang jauh untuk mendapatkan rawatan perubatan, bukan sahaja di dalam Sarawak tetapi juga di Malaysia.
“Itulah sebabnya semasa menjadi Senator, saya telah berkali-kali berkata serta bertemu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa standard bagi perkhidmatan dan kemudahan berdasarkan bilangan penduduk tidak sesuai untuk Sarawak kerana mesti mengambil pertimbangan ke atas jarak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi, bagi mengulas mengenai kejayaan Hospital Sri Aman menjalankan pembedahan sumbing yang pertama baru-baru ini, yang turut dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Twitter beliau.
Pembedahan itu dilakukan oleh Pakar Bedah Plastik Dr Ragnild Redit dengan kerjasama dari pasukan Anestesiologi dan Dewan Bedah Hospital Sri Aman. – KOSMO! ONLINE