TEMERLOH – Seorang pemancing yang kerap turun ke Sungai Pahang bagi memburu ‘jenggo’ atau udang galah bersaiz besar tidak menyangka mendapat rezeki luar biasa apabila kailnya dimakan ikan pari bersaiz besar di sungai air tawar berkenaan.
Malah, Muhamad Kuhari Ahmad, 51, yang menggunakan ‘set pancing udang’ dengan kekili berharga RM50 selain joran berharga RM30 juga terkejut kerana mampu menaikkan pari seberat 10.8 kilogram itu.
Katanya, dia yang memancing seorang diri dengan menyewa kemudahan Salleh Rakit Temerloh di Kampung Pangsenam juga terpaksa mengambil masa kira-kira sejam setengah untuk ‘menewaskan’ ikan pari berkenaan.
“Saya berasa terkejut apabila joran ditarik begitu kuat dan saya berhati-hati takut terlepas kerana hanya menggunakan tali perambut halus dan mata kail udang.
“Saya hanya mengikut tarikan itu sehingga membawa ke tebing sungai. Sebaik ternampak kelibat pari, saya terus terjun ke sungai dan memukul ikan dengan pendayung sebelum membawanya naik ke atas bot,” katanya di sini semalam.
Beliau yang berasal dari Selangor mengakui kerap turun ke Sungai Pahang dengan menyewa pakej memancing Salleh Rakit Temerloh bagi memburu udang galah.
“Apabila datang ke Sungai Pahang ini, niat saya adalah untuk memancing udang galah yang sememangnya banyak dan bersaiz besar,” katanya.