PETALING JAYA – Sama seperti kebanyakan pelakon lain yang tidak mahu karier mereka sekadar berkembang di negara sendiri, aktres popular Mira Filzah juga punya impian yang sama.
Luah Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 30, dia sudah lama memasang impian untuk bekerja di negara jiran Indonesia bersama pelakon dan sutradara hebat di sana.
“Sudah lama memasang impian untuk bekerja bersama mereka di Indonesia.
“Bak kata Aina Abdul, mimpi itu percuma,” tulisnya sambil mengulang siar perkongsian Instagram aktor handalan negara itu, Reza Rahadian dalam Insta Story.
Dalam perkongsian tersebut, Reza memuat naik draf skrip pengembangan cerita drama fenomena Layangan Putus yang akan dihasilkan dalam versi filem selepas ini.
Sementara itu, Mira dalam perkongsian InstaStory lain menjawab pertanyaan salah seorang kenalannya yang bertanya adakah benar dia menerima tawaran berlakon di Indonesia.
Jelasnya, itu cuma angan-angan yang dipasang sejak sekian lama, namun tidak menolak andai impian tersebut didoakan ramai orang.
“Eh, tidak tau (terima tawaran di Indonesia). Berangan saja. Ah sudah, nanti ada juga yang salah faham. Kan ‘memasang impian’ kita kata.
“Sesiapa yang terlintas Insta Story ini, marilah sama-sama aminkan untuk saya okey!” luahnya. – KOSMO! ONLINE