ALOR SETAR – Seorang kontraktor didenda RM30,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kontrak pembersihan, empat tahun lalu.
Tertuduh, Ronie Maharudin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Tertuduh diarah membayar denda itu serta-merta tanpa ansuran dengan dia perlu menjalani hukuman penjara selama setahun sekiranya gagal berbuat demikian. Dia membayar denda dikenakan.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi Oktober bagi November dan Disember 2018.
Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut sebagai palsu. Sehubungan itu dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat E-Idaman Sdn. Bhd., Bandar Baru Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada 22 Februari 2019. – KOSMO! ONLINE