PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang melarikan diri dari pemeriksaan polis sejauh 28 kilometer, melanggar palang plaza tol dan merempuh beberapa kenderaan akhirnya terbongkar setelah berjaya ditahan di Jalan Saujana Putra 6/2, Bandar Saujana Putra, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang tadi, polis telah menemui 25 unit batang kabel yang telah dipotong dipercayai hasil curi di dalam lori yang dipandu suspek.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pada awal kejadian, dua anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Daerah Kajang menerima maklumat berkaitan pergerakan sebuah lori yang mencurigakan di Sungai Chua, Kajang, sebelum memberi arahan untuk berhenti.
Jelasnya, ketika anggota polis ingin melakukan pemeriksaan, lori terbabit memecut melarikan diri ke arah Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).
“Anggota polis cuba menghentikan lori berkenaan tetapi suspek melakukan aksi yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Suspek kemudian diekori oleh pihak polis sebelum suspek bertindak melanggar dua palang di Plaza Tol Ayer hitam dan Plaza Tol Saujana Putra dan beberapa buah kenderaan di Jalan Saujana Putra.
“Setelah berjaya ditahan, suspek yang berusia 34 tahun cuba melarikan diri dengan cubaan terjun ke dalam tasik berhampiran tetapi dengan bantuan orang awam suspek tersebut berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Zaid, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 25 unit batang kabel yang telah dipotong dipercayai hasil curi dan beberapa alat memotong kabel berada di dalam lori yang dipandu suspek.
Ujarnya lagi, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau sebelum ini, manakala ujian saringan air kencing suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Sjn Wan Noorhasmizan bin Wan Asri di talian 012-9548532 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE