BAU – Seorang lelaki meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika memburu bersama adik dan abangnya di kawasan hutan berdekatan Sungai Boyuh, Kampung Jugan di sini.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Hospital Bau, pada pukul 11.45 malam Khamis lepas yang memaklumkan mangsa, 49, meninggal dunia akibat terkena tembakan semasa memburu.
“Sebanyak 43 kesan tembakan peluru penabur pada badan mangsa dan kebanyakannya terkena bahagian depan badan dan beberapa di tangan serta paha,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau telah menahan dua lelaki berumur 40 dan 50 tahun iaitu adik dan abang mangsa, kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu.
Poge menambah pihak polis kemudian merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, sebutir kelongsong peluru dan sejumlah peluru hidup dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian secara tidak sengaja. – KOSMO! ONLINE