BANGKOK – Seorang lelaki menceroboh masuk ke sebuah kedai serbaneka dalam keadaan berbogel, sekali gus menakutkan sejumlah pelanggan serta mencetuskan kekecohan di Ratchaburi, Thailand, kelmarin, lapor laman berita Thaiger.
Lelaki berkenaan turut memusnahkan objek dan membuat bunyi aneh serta menggumam perkataan kedengaran seperti dalam bahasa Arab.
Kejadian bermula apabila lelaki itu mula memecahkan kaca pintu kedai tersebut sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan). Selepas diusir keluar oleh beberapa kakitangan kedai, dia kembali beberapa minit kemudian.
Dia memasuki semula premis tersebut dan melempar pelbagai jenis barangan di atas rak ke lantai, sekali gus mencetuskan kekecohan di dalam kedai. Kakitangan premis kemudian menghubungi polis untuk menangani situasi menakutkan itu.
Balai Polis Muang Ratchaburi mengesahkan menerima laporan mengenai seorang lelaki yang kelihatan seperti berada di bawah pengaruh dadah dan memecah masuk sebuah kedai serbaneka di Mukim Don Tako, daerah Mueang.
Sejurus tiba, pegawai polis menemui seorang lelaki berbogel yang telah memasuki kedai bunga di seberang jalan.
Apabila lelaki itu menyedari kehadiran polis, dia mula memusnahkan barang-barang di dalam kedai tersebut dan cuba melarikan diri namun, anggota berkenaan berjaya menangkapnya.
Lelaki itu kemudian menjalani ujian dadah tetapi keputusan ujian tersebut masih belum dikeluarkan. – Agensi