fbpx

Kerajaan mahu lahirkan 125,000 huffaz berkelayakan profesional pada 2050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti ketika mengadakan lawatan khas ke UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim hari ini. - Foto oleh NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

TANJUNG MALIM – Kerajaan berhasrat untuk melahirkan seramai 125,000 orang huffaz yang memiliki kelayakan profesional menjelang 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu, satu modul akan dihasilkan oleh Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta Kebangsaan), dengan tempoh dua minggu diberikan kepada institusi pengajian tinggi tersebut untuk menyerahkan kertas cadangan.

“Ia bererti mereka bukan hanya menjadi ahli-ahli profesional seperti jurutera, peguam, doktor, akauntan dan sebagainya tetapi pada waktu yang sama boleh menjadi imam masjid dan mengetuai beberapa institusi atau badan-badan korporat.

“Ini adalah merupakan satu program jangka panjang namun kita mulakan dengan program jangka pendek iaitu persijilan doploma dan juga ijazah. UPSI juga tentunya telah merangka supaya kursus-kursus atau pengajian lanjutan di peringkat sarjana dan doktor falsafah dipersiapkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan khas ke UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, pengenalan program itu juga adalah bermatlamat untuk membantu sebahagian besar daripada kira-kira 280,000 huffaz di maahad-maahad tahfiz di seluruh negara untuk keluar daripada garis kemiskinan.

Beliau berkata, persepsi umum berpandangan bahawa golongan tersebut yang terlibat dalam bidang ibadah terutamanya yang bekerja sebagai imam di masjid serta surau bekerja secara sukarela namun hakikatnya mereka perlu menyara kehidupan.

“Untuk itu, kita mahu mempertingkatkan martabat huffaz ini agar mereka juga mempunyai kelulusan akademik, dengan peringkat sijil yang ada pemindahan kreditnya untuk mereka mengambil diploma dan pada waktu sama memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ertinya di dalam kesinambungan sijil ke diploma, UPSI akan menguruskan agar mereka ada SPM kerana syarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), jika tidak ada SPM mereka tidak boleh terjun ke dalam bidang kerjaya perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, modul tersebut akan diperluaskan ke tabika dan tadika Kemas serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi pengambilan akan datang serta ke 280 pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI