fbpx

Hutang kad kredit rakyat Amerika lebih RM4 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harga barangan yang melambung tinggi antara faktor yang menyebabkan ramai pengguna menggunakan kad kredit di AS. – Getty Images

WASHINGTON – Hutang kad kredit di Amerika Syarikat (AS) mencecah hampir AS$1 trilion (RM4.43 trilion) pada suku keempat 2022, demikian menurut Bank Rizab Persekutuan New York seperti dilaporkan portal berita RT kelmarin.

Bank berkenaan mengumumkan maklumat hutang tersebut dalam laporan suku tahunan mengenai hutang isi rumah AS yang diterbitkan pada Khamis lalu.

Menurut data tersebut, baki hutang kad kredit rakyat AS melonjak AS$61 bilion (RM270.35 bilion) kepada AS$986 bilion (RM4.36 trilion) dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini sekaligus rekod tertinggi sejak 1999.

Jumlah hutang isi rumah di AS pula melebihi AS$16.9 trilion (RM74.90 trilion).

Pihak berkuasa mengaitkan peningkatan mendadak itu dengan indeks harga pengguna yang tinggi, perbelanjaan kukuh dan kenaikan kadar faedah utama yang berulang sehingga mendorong kadar faedah kad kredit meningkat kepada hampir 20 peratus.

Pelanggan-pelanggan bank juga dilihat melambatkan pembayaran pinjaman secara lebih kerap yang disifatkan penyelidik-penyelidik bank tersebut sebagai membimbangkan.

Baki hutang semasa kad kredit pada tahun ini jauh berbeza berbanding dua tahun lalu apabila pengguna AS berdisiplin membayar hutang mereka menggunakan wang rangsangan ekonomi yang diterima semasa perintah ‘lockdown’ Covid-19. Ketika itu, rakyat AS turut mengurangkan perbelanjaan keseluruhan

mereka seperti percutian disebabkan pandemik.

Situasi itu menyaksikan penurunan baki hutang kad kredit yang susut kepada AS$770 bilion (RM3.41 trilion) pada awal 2021 berbanding AS$890 bilion (RM3.94 trilion) dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, hutang kad kredit AS melonjak sebanyak AS$130 bilion (RM576.16 bilion) tahun lepas iaitu peningkatan tahunan terbesar dalam sejarah.

Penganalisis-penganalisis menjangka Rizab Persekutuan akan meningkatkan kadar faedah beberapa kali pada tahun ini yang akan menyebabkan hutang kad kredit menjadi lebih tinggi.

“Ia adalah masalah tiga kali ganda kepada penghutang kad kredit. Baki meningkat, kadar faedah naik dan lebih ramai orang menanggung hutang kad kredit,” kata penganalisis firma Bankrate, Ted Rossman kepada agensi berita Bloomberg.

Beliau turut berkata, bilangan pemegang kad kredit yang menanggung hutang melonjak kepada 46 peratus pada 2022 berbanding 39 peratus tahun sebelumnya.

Rekod hutang kad kredit sebelum ini adalah sebanyak AS$927 bilion (RM4.10 trilion) pada suku keempat 2019. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN