PETALING JAYA – Sepasang suami isteri dan anak mereka berjaya ditemui di bawah runtuhan bangunan pangsapuri di Antakya, Turkiye selepas 296 jam bencana gempa bumi di negara tersebut.
Mangsa dikenali sebagai Samir Muhammed Accar, 49, isterinya, Ragda, 40, dan anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun ditemui oleh pasukan penyelamat dari Kyrgyzstan setelah selama 12 hari terperangkap akibat gempa bumi dengan magnitud 7.8 Richter yang berlaku 6 Februari lalu.
Bagaimanapun media Turkiye melaporkan bahawa anak pasangan terbabit gagal diselamatkan dan telah menghembuskan nafas terakhir di hospital ketika mendapatkan rawatan lanjut.
Semalam, Menteri Kesihatan Turkiye, Fahrettin Koca menerusi laman Twitter rasminya mendedahkan bahawa lelaki terbabit sudah sedarkan diri dan rawatan pertama dilakukan di Hospital Fakulti Perubatan Universiti Mustafa Kemal.
Sehubungan itu, isterinya juga turut difahamkan telah sedarkan diri dan sedang menerima rawatan lanjut.
Terdahulu media melaporkan perkembangan terkini mangsa korban gempa bumi berkenaan telah melebihi 45,000 orang di mana Turkiye mencatatkan lebih 39,000 mangsa manakala di Syria lebih 5,000 mangsa. – KOSMO! ONLINE