LONDON – Pelumba McLaren, Lando Norris meletakkan harapan cukup tinggi kepada kemampuan jentera MCL60 agar pasukannya itu menjadi pencabar menjelang pelumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Norris berharap pasukannya itu memberi tumpuan kepada pembangunan jentera terutama kestabilan bagi memudahkannya untuk mengawal jentera terutama di selekoh berbanding menumpukan aspek kelajuan semata-mata.
Pemandu Britain tersebut mengakui dia terpaksa mengubah gaya pemanduannya dengan ketara bagi menyesuaikan diri dengan jentera MCL36 tahun lalu, namun bernasib baik kerana masih mampu kekal mengutip mata untuk berada di kedudukan ketujuh keseluruhan.
“Saya memberi pendapat kepada pasukan agar membina jentera yang lebih stabil kerana saya melalui fasa cukup sukar untuk mengawal jentera MCL36 musim lalu.
“Saya berharap pasukan tidak hanya menumpukan kepada mencari kepantasan saja kerana keseimbangan jentera yang konsisten juga penting.
“Bagaimanapun, saya percaya kami telah mula melangkah ke satu tahap yang baik terutama perkembangan jentera jika dibandingkan musim lalu.
“Jadi, untuk mendapatkan jentera terbaik kami perlu melakukan sedikit perubahan yang saya rasa kami bergelut dengannya beberapa musim yang lalu,” katanya.
Norris mengakui masalah paling besar dilalui sepanjang musim lalu adalah mengawal jentera tersebut ketika memecut laju di selekoh.
“Saya percaya jika pasukan dapat memenuhi keperluan, saya yakin mampu lakukan lebih baik berbanding musim lalu.
“Sebelum ini, saya terpaksa mengubah gaya pemanduan saya agar mampu menamatkan saingan tersebut dengan selamat,” ujarnya.
Musim lalu, Norris berjaya menaiki podium tempat ketiga di Grand Prix (GP) Emilia Romagna dan turut berjaya menamatkan saingan tempat keempat di GP Singapura. – AGENSI