MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mungkin terpaksa menyenaraikan semula tiga pemainnya yang sebelum ini mengalami kecederaan iaitu Anthony Martial, Antony dan Scott McTominay untuk bersedia bertemu Leicester City malam ini.
Pengurus dari Belanda itu memberi bayangan dua daripada pemain-pemain berkenaan mungkin akan disenaraikan dalam skuad itu, namun mengakui bahawa keputusan akan dilakukan pada sesi terakhir latihan.
Martial terlepas 23 perlawanan musim ini ekoran masalah kecederaan dan masalah pada bahagian pinggang menyaksikan dia terpaksa disisihkan buat kali kelima sepanjang kempen musim ini.
Sementara itu, Antony terlepas tiga perlawanan terakhir akibat kecederaan kaki, manakala McTominay tidak cergas sejak empat aksi lalu kerana masalah kecederaan otot.
“Mungkin satu atau dua pemain akan kembali semula, namun bergantung kepada penilaian yang akan dibuat pada sesi latihan terakhir. Kita perlu tunggu,” katanya.
Dalam pada itu, dua pemain, Lisandro Martinez dan Marcel Sabitzer akan kembali menyertai pasukan selepas tersisih ketika United terikat 2-2 menentang Barcelona pada aksi Liga Europa ekoran berdepan penggantungan.
“Anda sangat mengharapkan kedua-dua mereka berada dalam skuad ketika menghadapi Barcelona. Mereka sangat penting untuk pasukan ini, ia membantu menguatkan semula pasukan dan kami akan memiliki pasukan yang lengkap bertemu Leicester,” ujarnya. – AGENSI