SEPANG – Dua syarikat agensi pekerjaan tempatan dikesan terbabit dalam aktiviti merekrut pekerja rakyat Malaysia untuk bekerja dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, itu merupakan modus operandi sindiket penipuan kerja yang berjaya didedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan beberapa individu bulan lalu.
Ujar beliau, pemeriksaan mendapati, dua syarikat itu adalah agensi pekerjaan yang sah malah turut menjalankan aktiviti membawa pekerja asing ke Malaysia untuk bekerja dalam pelbagai sektor.
“Mereka ada lesen tapi mengambil kesempatan eksport rakyat Malaysia. Dua syarikat itu kini disiasat Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya juga mendapati, syarikat sama turut merekrut warga asing untuk bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah dan buruh ladang.
Menurut Abd. Jalil, mangsa kebanyakannya terpedaya dengan tawaran gaji lumayan sehingga AS$2,000 (kira-kira RM9,000).
Terdahulu, pada sidang akhbar sama, Abd. Jalil berkata, lima daripada 19 mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar telah selamat tiba di tanah air hari ini.
Ujar beliau, pihaknya kini sedang mengesan 14 lagi mangsa sindiket sama yang masih terperangkap di negara itu terutama di sempadan Thailand – Myanmar. – KOSMO! ONLINE