fbpx

Cipta rekod miliki 40 ijazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biarpun sudah memiliki 40 ijazah, namun Welin tidak mempunyai perancangan untuk berhenti belajar.

PADA pertengahan 2012, Muzium Rekod Indonesia (Muri) menamakan seorang lelaki bernama Welin Kusuma sebagai pemegang gelaran akademik paling banyak dalam pelbagai disiplin. Ketika itu, dia telah dinobatkan dengan 32 ijazah.

Bagaimanapun, bilangannya bertambah kepada 40 menerusi beberapa ijazah yang diperoleh sehingga tahun 2022.

Gelaran akademik tersebut terdiri daripada 12 ijazah sarjana muda (S1), tiga ijazah sarjana (S2) dan 25 ijazah profesional.

Ijazah itu diperoleh daripada jurusan yang dipelajarinya termasuk undang-undang, ekonomi dan sastera.

Welin dilahirkan di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia pada 8 Mac 1981.

Dalam temu bual bersama media di Indonesia, Welin memaklumkan, ketika peringkat menengah, dia mendapat pendidikan di Kota Kendari.

“Saya hanya lahir di Makassar, tetapi membesar dan tinggal bersama keluarga di Kota Kendari.

“Saya bersekolah dari peringkat rendah ke menengah pada tahun 1985 hingga 1999 di sana,” katanya.

WELIN berjaya memperoleh ijazah dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang dan ekonomi.

Kini, Welin bermastautin di Surabaya dan sedang melanjutkan pengajian Sarjana Muda Sains Perpustakaan di Universiti Terbuka Surabaya.

Ibu bapa Welin merupakan penduduk Kota Kendari, ini membuatkannya menghabiskan masa kecil dan remaja di bandar itu.

Minatnya dalam pelbagai kajian dan disiplin bermula sejak kecil iaitu ketika sekolah menengah.

Welin mengambil pelbagai kursus seperti komputer, perakaunan, bahasa Inggeris dan menaip 10 jari.

Setelah tamat sekolah menengah, dia melanjutkan pelajaran di Surabaya dan tinggal di sana sehingga kini.

Selain menjadi pemegang rekod ijazah terbanyak pelbagai disiplin, Welin turut memegang rekod Muri iaitu Pengambil SKS dengan jumlah 111 kredit semester pada 2003.

WELIN turut memegang rekod Muri sebagai Pengambil SKS dengan 111 kredit pada satu semester.

Pada masa itu, dia belajar lima jurusan sarjana muda sekali gus iaitu Kejuruteraan Industri di Universiti Surabaya, Ekonomi Pengurusan (STIE Urip Sumoharjo), FISIP Business Administration di (Open University), Undang-undang (Universiti Airlangga) (dan Kejuruteraan Informatik (Kolej Kejuruteraan Surabaya).

Katanya, dia perlu menjalani kuliah selama 15 jam sehari iaitu dari pukul 7 pagi hingga 10 malam termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.

Perjalanan Welin dalam mempelajari pelbagai jurusan ilmu turut berdepan cabaran apabila terpaksa bergerak pantas ke kampus kerana selang masa kursus yang singkat.

Perkara tersebut dapat diatasi oleh Welin dengan meminta izin keluar dari kelas, kemudian memandu kenderaannya ke kampus lain.

Walaupun dia lewat ke kelas beberapa kali, namun peratusannya masih lagi memuaskan. Daripada kesemua 111 kredit itu, dia masih mendapat gred yang memuaskan.

Biarpun sudah mempunyai 40 ijazah akademik, namun dia tidak terfikir untuk berhenti belajar.

Kini, Welin melanjutkan pengajian untuk ijazah ke-41 dengan mengambil jurusan Sains Perpustakaan di Universiti Terbuka, Surabaya.

“Tiada sasaran untuk menambah ijazah lagi selepas tamat program pengajian ini.

“Jika ada bidang yang menarik dan masa mengizinkan, saya akan terus belajar secara konsisten,” katanya.

Dia mengakui tidak bercadang untuk mengambil ijazah kedoktoran dalam masa terdekat bagi mengikuti kursus pendek yang boleh dihabiskan dalam tempoh tiga bulan dari universiti di luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI