TERDAPAT beberapa pembaharuan yang akan diaplikasikan oleh Astro bagi memastikan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) lebih lancar dan membantu peningkatan nilai komersial pertandingan.
Selain menyajikan liputan pra perlawanan, temubual eksklusif, sorotan perlawanan, Astro selaku penyiar rasmi juga akan memberi nilai tambah lain dengan menyajikan sesi pemanas badan sebelum perlawanan dan juga memperkenalkan segmen Botak Terjah Stadium menerusi platform Youtube.
Selain itu, pihak Astro melantik lapan bekas pemain kebangsaan seperti Datuk Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Razman Roslan, Shahrom Kalam, Nizaruddin Yusof dan jurulatih berpengalaman, B Sathianathan sebagai pundit.
“Saya fokus untuk melihat peningkatan pemain tempatan, apabila liga kita jadi baik, maka kita juga dapat lahirkan pemain yang baik untuk pasukan kebangsaan.
“Persaingan akan bertambah bila ada import, jadi mereka kena berusaha lebih untuk dapatkan tempat.
“Dengan platform ini, tugas kami sebagai legenda bola sepak sudah pasti kami akan berkongsi info dan maklumat menarik kepada penonton,” kata Zainal.
Astro selaku penyiar rasmi akan menyiarkan 244 perlawanan Liga M dalam siaran definisi tinggi bermula dengan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, malah turut merangka beberapa program menarik buat tontonan peminat bola sepak tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, berkata pihaknya begitu teruja apabila terpilih sebagai penyiar rasmi Liga M, sekali gus menepati kedudukan saluran berkenaan sebagai hub sukan negara.
“Kami sentiasa mengiktiraf kepentingan sukan dalam pembangunan negara dan dengan itu, Astro serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) komited meningkatkan taraf liputan liga bola sepak tempatan melalui siaran langsung, perkembangan di sebalik tabir, sesi latihan pemain dan jurulatih, selain membawakan berita terkini untuk sajian khas buat semua peminat di negara ini,” katanya.