fbpx

Anzalna kongsi rezeki, belanja bapa tunggal barangan bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMURAHAN hati Anzalna membantu seorang bapa tunggal membeli barangan keperluan bayinya menyentuh jiwa ramai peminat.

PETALING JAYA – Pelakon jelita Anzalna Nasir menuai rasa hiba dalam kalangan pengikut Instagramnya apabila bermurah hati berkongsi rezeki membantu seorang bapa tunggal membeli barangan keperluan untuk bayi perempuannya.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pelakon berusia 35 tahun itu membawa seorang bapa tunggal dikenali sebagai Mohd. Azlan Roslan bersama bayinya bernama Nur Irdina Sofea berbelanja barangan keperluan bayi di sebuah kedai terkemuka.

“Rezeki yang Allah SWT bagi perlu dikongsikan bersama mereka yang memerlukan. Kali ini saya bawa seorang bapa tunggal bersama anak kesayangannya berbelanja di tempat kegemaran saya,” tulis Anzalna.

Ujar Anzalna atau nama lengkapnya Nur Anzalna Md. Nasir itu lagi, dia turut berhasrat untuk melakukan perkara sama kepada keluarga lain dan meminta pengikutnya dalam Instagram membantu mencari keluarga yang memerlukan barangan bayi.

“Insya-Allah nanti saya akan bawa lagi keluarga bertuah berbelanja di sini. Anda semua tolong ‘tag’ keluarga yang memerlukan barangan bayi,” ujarnya.

Dalam video tersebut, anak sulung Anzalna, Mohamad Eidress turut kelihatan beramah mesra dan bermain bersama Sofea apabila dilihat berkali-kali mencium tangan bayi comel itu.

Sementara itu, Azlan yang sememangnya cukup dikenali dalam TikTok turut mengucapkan rasa terima kasih kepada Anzalna atas kesudiannya membantu membeli barangan keperluan bayi untuk anak tunggalnya.

“Terima kasih Anzalna bawa kami berbelanja,” katanya.

Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata netizen turut berkongsi rasa gembira atas kebaikan hati Anzalna selain menyifatkan Azlan sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab.

“Selalu tengok TikTok Azlan. Semoga Anzalna dimurahkan rezeki,” ujar seorang netizen.

“Seorang bapa yang sanggup berkorban untuk anaknya,” kata seorang lagi pengguna Instagram.

“Semoga Anzalna dimurahkan rezeki dan dilimpahi rahmat oleh Allah SWT,” kata seorang pengikutnya.

Azlan merupakan bapa tunggal dan membesarkan anaknya seorang diri serta kerap membuat content tentang rutin hariannya menjaga Sofea menerusi TikTok.

Untuk info, Anzalna sebelum ini pernah meraih perhatian apabila membantu seorang penjual Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan memborong semua nasi lemak jualannya sekitar tiga tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI