PASIR MAS – Seorang lelaki Thailand dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di kawasan semak berhampiran sawah padi di Kampung Sapi, Jeram Perdah di sini, kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat itu ditahan bersama kesemua PATI termasuk 19 orang wanita di kawasan itu kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan pegawai bersama anggota Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota polis melihat seorang lelaki berjalan masuk ke kawasan semak dengan membawa bungkusan plastik makanan dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek kemudiannya dilihat menyerahkan makanan tersebut kepada sekumpulan lelaki dan wanita yang berada di dalam kawasan semak tersebut.
“Pegawai dan anggota PGA terus menjalankan serbuan sebelum menemui 97 PATI warga negara Myanmar yang berusia 16 hingga 58 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, siasatan mendapati, kesemua PATI tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.
Katanya, anggota PGA turut merampas sebuah telefon pintar dan wang tunai sebanyak RM3,000 disyaki hasil daripada kegiatan pemerdagangan manusia bersama tekong darat itu.
“Tekong darat warga Thailand dan kesemua PATI itu dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah di sini untuk tindakan lanjut.
“Lelaki itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA manakala 97 PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE