fbpx

230 Rohingya di Melaka ‘ghaib’ takut diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penguat kuasa memeriksa beberapa rumah sewa dalam operasi bersepadu di Jalan Pulau Senang, Semabok, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Perkampungan haram etnik Rohingya di Jalan Pulau Senang, Semabok, di sini ‘lenyap’ selepas lebih 230 penduduk dipercayai berpecah dan meninggalkan rumah sewa masing-masing susulan kawasan itu menjadi sasaran pihak berkuasa.

Situasi itu dikesan dalam operasi bersepadu oleh lima agensi penguatkuasaan yang disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem pada pukul 12.30 tengah malam sehingga 3.30 pagi tadi.

Mohd. Noor Helmy berkata, kawasan itu mula menjadi sasaran selepas pelbagai isu sosial dilaporkan berlaku melibatkan pesalah Rohingya termasuk kes jenayah cabul membabitkan mangsa seorang kanak-kanak tempatan pada Disember lalu.

Katanya, susulan itu satu pemeriksaan telah dilakukan dan dipercayai kawasan itu telah menjadi perkampungan Rohingya dengan jumlah penduduk sekitar 236 orang.

“Dalam operasi ini kita dapati kawasan yang sebelum ini didiami kira-kira 200 orang Rohingya kini kebanyakan rumah mereka kosong.

“Hanya tinggal beberapa buah rumah kurang daripada 80 orang Rohingya dikesan, mereka pindah ke mana saya tidak tahu tetapi kita nampak pergerakan mereka mula keluar meninggalkan DUN Duyong,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak berkuasa akan terus berhadapan dengan kesukaran untuk mengawal isu sosial golongan itu sekiranya mereka masih diiktiraf sebagai pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

“Seperti isu perkampungan Rohingya ini, kita tidak ada undang-undang yang dapat mengikat atau melarang tuan tanah (penyewa) menyewakan rumah kepada pelarian kerana kehadiran mereka sah, kalau macam pendatang asing tanpa izin berbeza.

“Kalau tangkap esok lepas balik, tidak ada kesudahan, kalau nak usir pun, nak usir ke mana? Isu sosial membabitkan mereka ini ibarat bulatan, semakin lama semakin besar,” katanya.

Katanya, susulan itu pihaknya mencadangkan agar golongan itu didaftarkan sebagai pekerja warga asing bagi membolehkan mereka bekerja dan kawalan dapat dilaksanakan dengan lebih baik di bawah Akta Imigresen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI