IPOH – Polis merampas 11,590 karton rokok yang disyaki diseludup menerusi serbuan di empat buah rumah di sekitar Sitiawan dan Ayer Tawar semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan tersebut dijalankan pasukan polis Marin antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang.
Katanya, ketika serbuan, keempat-empat rumah berkenaan tidak berpenghuni dan hasil pemeriksaan telah menemukan 11,590 karton rokok pelbagai jenis disyaki diseludup tanpa cukai kastam di atas lantai rumah.
“Anggaran nilai rampasan itu berjumlah RM1.7 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE