PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi bayangan akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) selain berhasrat menjadi penasihat parti itu.
Mahathir berkata, beliau menggangap jemputan untuk menyertai Putra sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.
“Saya ucap terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti terlebih dahulu sama ada Putra sesuai atau tidak dengan saya. Setakat ini, saya tidak nampak sebab yang saya tidak boleh terima parti ini.
“Saya akan fikir secara mendalam sebelum keputusan dibuat. Saya akan buat permohonan jadi ahli dan kalau mahu bagi saya sebagai penasihat parti, saya boleh bagi nasihat,” katanya selepas sidang media bersama pimpinan di sini hari ini.
Menurut Mahathir, beliau berharap dapat memberi panduan kepada Putra dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk selamatkan kaum Melayu di negara ini.
Sementara itu, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau percaya Dr. Mahathir masih ada aura sebagai pemimpin sekali gus memimipin parti itu.
“Kita mahu Tun sertai Putra. Kami mohon seikhlas hati dan tidak timbul soal Tun mahu memohon sertai atau tidak. Kita juga jemput 14 bekas pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk sertai Putra.
“Kita doakan agar Tun dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali diberi kesihatan berpanjangan dan kami mahu sehidup semati dengan perjuangan Tun,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Dr. Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang kerana memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) – KOSMO! ONLINE