fbpx

Tenang, sejuk dalam kediaman rona biru lembut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gabungan warna-warna lembut yang didominasi rona sky blue dalam kediaman ini begitu menenangkan.

TATKALA memilih warna utama pada ruang kediaman, pemilik pastinya akan terpaut pada warna-warna yang lembut memandangkan sifat warna sedemikian yang menenangkan.

Bagi sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah kediaman teres dua tingkat di Puncak Alam, Selangor, rona biru lembut menjadi pilihan hati dan dijadikan sebagai warna utama pada kediaman.

Saat kaki melangkah masuk, warna biru lembut menerpa anak mata, mencetuskan suasana sejuk dan cukup mendamaikan.

Padanan rona sky blue bersama putih itu mewujudkan suasana kediaman yang tenang sekali gus menjadikan ia tampak lebih luas.

Pemiliknya, Intan Suria Sabtu bersama suami, Mohd. Fadly Daud berkata, mereka memilih konsep minimalis pada kediaman yang mula dihuni sejak tahun 2015 itu.

Reka corak hiasan yang ringkas tetapi berpadanan dengan konsep.

Banyak mengambil inspirasi dekorasi daripada majalah dan juga internet, Intan Suria berkata, dia cukup sukakan terjemahan hiasan dan paduan warna yang ditampilkan pada kediamannya itu.

“Kalau diikutkan, saya amat sukakan suasana kediaman yang terang kerana suasana sedemikian mampu menjadikan kediaman kelihatan lebih menyerlah dan cantik,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Hamparan permaidani bercorak ringkas daripada rona beige dan biru lembut dipilih di sudut ruang tamu bagi mencipta kesenadaan dengan konsep kediaman.

Sebagai penyeri, ruang itu turut diserlahkan lagi dengan bantal-bantal kecil daripada rona biru lembut dan juga biru firus.

Dinding ruang tamu pula tampil berseri dengan gabungan warna putih dan biru, manakala bagi hiasan dinding pula, Intan Suria hanya meletakkan hiasan berupa ukiran khat bagi mengelakkan ruang itu nampak serabut.

Ruang makan keluarga pula tampil ringkas dengan pemilihan meja segi empat sama daripada rona putih.

Kediaman ini tidak banyak bergantung kepada pencahayaan lampu dan hanya memilih lampu ringkas dengan pencahayaan malap di beberapa sudut.

Kerusi makan rona biru dengan rekaan moden menjadi pilihan Intan Suria, sekali gus menyerlahkan lagi tata hias konsep minimalis.

Pasu kecil rona putih berisi pokok hijau pula diletakkan pada sudut ruangan itu bagi menyuntik elemen semula jadi.

Kediaman seluas 143.07 meter persegi itu menyerlah dengan pencahayaan semula jadi.

Justeru, Intan Suria dilihat tidak banyak bergantung kepada pencahayaan lampu dan hanya memilih lampu ringkas dengan pencahayaan malap di beberapa ruang kediaman.

Tidak lokek berkongsi, Mohd. Fadly pula memberitahu, hampir 80 peratus item dekorasi dan perabot di kediaman itu dibeli dari IKEA.

Tambahnya lagi, tidak semua barangan perabot yang dibeli untuk kediaman itu berwarna biru kerana ada antaranya yang dicat sendiri bagi mendapatkan rona biru yang diidamkan.

“Kami mengecat beberapa item dekorasi seperti meja kecil pada sudut kiri bahagian ruang tamu ini dengan rona sky blue. Hal ini kerana ia masih elok dan selepas dicat kelihatan sangat cantik dan sesuai dengan konsep pilihan rumah ini,” ujar Mohd. Fadly.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN