SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan terutamanya di negeri berisiko dilanda banjir bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung Isnin ini berjalan lancar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bilik gerakan banjir yang ditubuhkan kini bersedia manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut bersiap siaga mendepani sebarang kemungkinan.
“Kita sudah mengenalpasti sekolah-sekolah yang akan dijadikan pusat peperiksaan dan pusat pemindahan sementara (PPS). Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menghadapi bencana ini.
“Bagaimanapun, saya berharap mudah-mudahan tidak berlaku banjir supaya anak-anak kita boleh menduduki peperiksaan dengan tenang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Bantuan Awal Persekolahan Kadun Jawi 2023 di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Nibong Tebal, di sini hari ini.
Terdahulu, KPM dalam kenyataannya memaklumkan seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan SPM di 3,355 pusat pemeriksaan di seluruh negara bermula 20 Februari hingga 15 Mac ini. – KOSMO! ONLINE