fbpx

Sangka anak buat kejutan, rupanya maut di lapangan terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH Shamsuhaimie dikebumikan di Madinah selepas solat Jumaat semalam.

PETALING JAYA – Hajat sebuah keluarga meraikan kepulangan pengurus perancangan lebur apabila lelaki berkenaan me­nemui ajal di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad Abdulaziz, Madinah, Rabu lalu.

Allahyarham Shamsuhaimie Ahmad, 46, yang masih bujang dan telah berkhidmat selama setahun di Arab Saudi telah menghembus nafas terakhir ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak.

Kakak Allahyarham, Sarifah Ahmad, 56, berkata, segala persiapan untuk menyambut kepulangan arwah yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik telah tersedia, namun tidak me­nyangka mereka sekeluarga menerima kejutan sebaliknya.

“Semua tunggu dia balik, makanan pun sudah siap terhidang atas meja. Tuala pun kita sudah letak di luar rumah kerana kebia­saannya arwah akan terus mandi di luar apabila pulang dari sana kerana dia bimbang bawa balik penyakit kepada keluarga.

“Arwah ada beritahu dia akan sampai Kuala Lumpur pada Khamis (kelmarin) pukul 11 pagi tetapi sampai masa dia se­nyap, tidak telefon, ingat adik mahu buat kejutan tiba-tiba sampai rumah mak. Namun dia tidak muncul-muncul.

“Kami pada mulanya tidak sampai hati mahu beritahu ibu tentang kematian adik sebab dia memang tunggu kepulangan adik. Kali terakhir ibu bertemu anaknya pada Disember lalu,” katanya di sini semalam.

Menurut Saripah, kali terakhir dia berbual dengan Shamsuhaimie Rabu lalu, sebelum adik­nya bertolak ke lapangan terbang dan arwah ada memaklumkan akan bercuti selama 10 hari namun tidak memperincikan tentang penerbangannya.

Menurutnya, arwah seorang yang baik hati, pemurah dan disenangi ramai.

GAMBAR kenangan Shamsuhaimie (berdiri, dua dari kanan) bersama adik beradiknya sempena sambutan hari lahir ibu mereka, Zainon Mat Piah pada 2021 lalu.

Shamsuhaimie ju­ga telah menempah tiket untuk pulang bercuti bermula 11 April depan bagi menyam­but Ra­madan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Memang terkejut sebab arwah tiada penyakit cuma baru-baru ini beberapa kali dia mengadu rasa kebas pada kaki dan tangan tapi saya anggap itu perkara biasa.

“Mulanya pihak pengurusan di Madinah beritahu mahu kebumi selepas subuh (semalam) tetapi ditunda kepada selepas solat Jumaat kerana lebih ramai orang untuk solat jenazah dan kebumi di Madinah juga.

“Arwah tiap-tiap minggu pergi Masjid Nabawi, sebelum balik pun dia cakap nak singgah solat di sana dulu baru ke lapangan terbang. Rezeki arwah, dia pun pemurah dengan semua orang tak kira sesiapa pun,” ujarnya.

Sementara itu, abang Shamsuhaimie, Zulkifli Ahmad berkata, dia me­nerima berita kematian adik bongsunya itu kira-kira pukul 7 malam kelmarin.

Katanya, dia sekeluarga amat sedih kerana tidak dapat bertemu dengan arwah dan menatap wajahnya buat kali terakhir.

“Bayangkanlah, arwah dalam perjalanan pulang ke sini dan kami tidak bertemu kira-kira dua bulan. Sudah meninggal, jena­zah pun tidak dapat ditatap dan hanya mendengar berita, maka bertambah sedih.

“Apabila mengetahui dia mahu pulang, kami termasuk emak di kampung ini sememangnya me­nunggu dia yang sepatutnya tiba pada malam semalam sekitar pukul 7 malam, kelmarin.

“Jika dapat melihat jenazah pun sedih, inikan tidak dapat jumpa jenazah. Meninggal pula di tempat orang,” ujarnya.

Zulkifli berkata, jenazah arwah kini diuruskan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Madinah dan mereka bersyukur semua­nya dipermudahkan.

“Ketika ini semua ahli ke­luarga arwah sedang berkumpul di kampung dan akan membuat solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI