PETALING JAYA – Tindakan beberapa orang pelajar merosakkan harta benda di sekolah bagi meraikan hari terakhir persekolahan mendapat kecaman orang ramai.
Sebuah video memaparkan kelakuan pelajar terbabit turut tular di media sosial, namun tidak dinyatakan lokasi perbuatan itu dirakam.
Menerusi perkongsian tersebut, beberapa orang pelajar dilihat merosakkan perabot sekolah seperti kerusi, kipas siling serta pintu tandas.
Tinjauan di ruang komen mendapati orang ramai mengecam tindakan pelajar-pelajar terbabit dan berharap mereka dikenakan tindakan tegas.
“Kejap lagi dah kena angkut dengan polis buat muka kasihan macam menyesal sangat buat semua itu,” kata Amirul.
“Bila kita sebut kita mundur dan ketinggalan kita marah. Tapi itulah yang sedang kita hadapi. orang beradab dan berilmu tidak akan buat perkara begini. Kalau tidak ada tindakan tegas, sampai bila-bila tidak ada pengajaran bagi mereka,” kata Izz
“Sebagai guru, sangat terguris hati bila tgok pelajar macam ini. Tersiat-siat rasanya. Semoga pihak sekolah mengambil tindakan yang wajar,” luah Anis.
“Nak sekolah semua minta bantuan. Tapi habis sekolah semua benda dirosakkan. Generasi selepas itu terpaksa guna barang-barang dah rosak, kesian anak-anak sekarang,” kata Rozana. – KOSMO! ONLINE