KLANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menguumkan khabar gembira kepada Penduduk Flat Seri Perantau yang menanti lebih dua dekad berhubung hak milik rumah mereka.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri telah mengenal pasti 17 langkah atau prosedur yang perlu dipenuhi sebelum hak milik strata diserahkan kepada kira-kira 800 pemilik di 12 blok flat tersebut.
“Setakat ini 10 langkah telah diselesaikan dan ada lagi tujuh langkah sebelum hak milik strata diserahkan kepada penduduk.
“Batch (kumpulan) pertama yang akan kita selesaikan hak pemilikan masing-masing adalah pada Jun ini,” katanya pada Program Kita Selangor Penyayang di Flat Seri Perantau hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kesemua hak milik strata tersebut akan diselesaikan secara keseluruhan menjelang Ogos nanti.
Tambah beliau, selain masalah hak milik strata. terdapat masalah lain flat tersebut yang akan turut diselesaikan.
“Masalah tersebut adalah berhubung pembayaran bil-bil tertentu. Sehubungan itu, semalam saya bersama Perdana Menteri telah berbincang tentang masalah tunggakan bayaran senggelaraan seperti bil air dan elektrik di pangsapuri-pangsapuri di Selangor.
“Alhamdullillah Perdana Menteri secara ‘verbal’ telah meluluskan sebahagian peruntukan (untuk tujuan pembayaran penyenggaraan). Saya akan susuli hari Isnin akan datang semasa mesyuarat langsung dengan Perdana Menteri,” ujarnya.