KUANTAN – Akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam menyebabkan seorang pembantu tadbir sebuah sekolah di Jerantut di sini bagaikan dipukau apabila sanggup membuat pinjaman peribadi sepertimana diminta sindiket sebelum wang berkenaan dipindahkan kepada suspek.
Dalam kejadian berkenaan mangsa wanita yang berusia 35 tahun itu berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM32,125.36.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian bermula pada 19 Januari lalu selepas mangsa menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat kurier dan pegawai polis.
“Suspek yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dari Melaka memaklumkan bahawa mangsa mempunyai satu bungkusan yang tidak dapat dihantar kerana mempunyai barang diragui iaitu tiga keping kad pengenalan, tiga keping kad bank dan 30 kad sim.
“Suspek kemudiannya telah menyambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis yang menyatakan mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ramli, mangsa kemudiannya diminta membuat rakaman video selama tiga hari mengenai aktiviti hariannya sebelum diarahkan membuat pinjaman peribadi.
Beliau memberitahu selepas membuat pinjaman peribadi sebanyak RM34,000 daripada sebuah bank mangsa diminta membuah pindahan wang sebanyak RM32,125.36.
Dalam pada itu beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.
“Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
“Sekiranya diminta memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkan apa apa maklumat dan masyarakat juga dinasihatkan supaya kerap membuat semakan atas kemasukkan dan pengeluaran wang yang mencurigakan dalam akaun sendiri supaya tidak menjadi suspek keldai akaun,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE