PETALING JAYA – Pakar pembinaan Haily Group Berhad (Haily) telah memenangi kontrak bernillai RM78.28 juta untuk membina 262 unit hartanah kediaman di Pontian, Johor.
Ia merupakan kontrak terbesar Kumpulan setakat ini dan menjadikan jumlah nilai kontraknya meningkat kepada RM660.77 juta.
Pada 8 Februari lalu, anak syarikat milik penuh Haily, Haily Construction Sdn Bhd. telah menerima surat anugerah tender daripada Mandy Corporation Sdn. Bhd., kontraktor utama yang dilantik oleh Splendid Pavilion Sdn. Bhd. untuk membina rumah (TNB).
Rumah teres itu akan dibina di Laman Citra, Gelang Patah dalam daerah Pontian, Johor.
Mandy Corporation dan Splendid Pavilion merupakan anak syarikat milik penuh Gadang Holdings Berhad yang tersenarai di Pasaran Utama.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan penganugerahan kontrak tersebut iaitu projek kedua untuk Laman Citra Kumpulan Gadang.
“Kami yakin dapat melaksanakan projek dalam tempoh masa yang ditetapkan tanpa menjejaskan kualiti, disokong oleh pengalaman kami sebelum ini dalam menangani pelbagai projek pembinaan termasuk untuk pemaju tersenarai seperti Mah Sing Group Berhad, IOI Properties Group Berhad dan Country View Berhad,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Tin Hai menerangkan, melalui pemerolehan projek terbaharu itu, buku pesanan kumpulan pada masa ini terdiri daripada 25 projek yang sedang berjalan dengan jumlah nilai kontrak RM660.77 juta. -KOSMO! ONLINE