PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital bercadang menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber bagi menangani isu penipuan dalam talian di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, penubuhan itu bagi mengawal selia segala hal berkaitan keselamatan berkaitan siber dalam negara.
Menurut beliau, perkara itu akan dibincangkan bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan agensi-agensi lain sebelum ia diumumkan,
“Kita ada agensi tertentu seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) contohnya yang membantu menyelaraskan.
“Kita sedang melihat beberapa agensi yang sedang berbincang dengan pihak kementerian termasuk NACSA untuk meneliti aspek perundangan yang perlu menjadi asas untuk satu koordinasi lebih menyeluruh melibatkan semua kementerian lain.
“Jadi pada waktu ini kita melihat…kita perlu buat penilaian dan saya percaya ia tidak terlalu lama. Kita akan umumkan bersama garis masa pelaksanaan sebab isu keselamatan siber sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Cyber Security (CSM), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, terdapat keperluan bagi kerajaan meminda Akta Perlindungan Peribadi 2010 (Akta 709) untuk menangani isu kebocoran data pengguna bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa penggodam tidak bertanggungjawab.
Ujarnya, pindaan tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan semua organisasi yang mengendalikan data bagi tujuan transaksi komersial atau keselamatan memahami tanggungjawab melindungi data pribadi pengguna.
“Pindaan ini untuk memahamkan mereka sekiranya culas dan gagal melindungi (data pengguna), mereka akan dikenakan penalti yang lebih serius.
“Pada waktu ini mereka seperti tidak ada rasa segan silu kalau berlaku ketirisan data pengguna, malah jika buat penafian, tidak ada pengesahan sama ada kenyataan itu benar atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan akan meminta semua agensi media termasuk swasta untuk terus mempromosi langkah kerajaan menangani isu penipuan dalam talian melalui platform media massa pada masa akan datang.
“Bagi saya ini merupakan satu perang psikologi yang perlu dilakukan, saya dan pihak kementerian akan teliti apa yang boleh kita lakukan dan ikhtiar bagi Jelajah Anti Scam dapat capaian meluas melalui media massa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE