KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu merupakan tanda solidariti rakyat Kelantan terhadap mangsa gempa bumi yang kini mengorbankan lebih 40,000 nyawa dan puluhan ribu yang lain cedera.
Menurutnya, sumbangan itu juga diberikan untuk mangsa gempa bumi di kedua-dua negara yang kini mencecah lebih sejuta orang apabila mereka kehilangan tempat tinggal.
“Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah S.W.T bagi melancarkan operasi mencari, menyelamat termasuk pemulihan pasca bencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE