PETALING JAYA – Hancur hati seorang isteri apabila menjemui sekotak kondom di poket seluar suaminya sebaik sahaja lelaki itu pulang dari bekerja di luar kawasan selama tiga hari.
Perkongsian mengenai nasib malang wanita itu dikongsi pengacara, Fedtri Yahya di akaun Twitternya semalam.
Menurut wanita itu, dia tidak dapat mengikut suaminya bekerja di Kedah selama tiga hari kerana perlu menghadiri karnival kerja di ibu kota baru-baru ini.
“Bila suami pulang saya jumpa kotak kondom dalam (seluar) jeans dia. Satu pek sudah terpakai, hancur hati saya. Rasa terketar-ketar,” katanya.
Tidak berakhir di situ, wanita tersebut turut mendedahkan sikap suami yang sudah dinikahi selama empat tahun dan dikurniakan dua cahaya mata itu.
Katanya, suaminya itu kerap culas memberi nafkah selain sering meminta dirinya untuk membayar separuh daripada komitmen bulanan keluarga walaupun tidak bekerja.
“Saya tak bekerja, sebab jaga keluarga. Suami kerja professional, gaji lima angka sebulan. Tapi, nafkah suami selalu culas, kadang-kadang dia bagi saya RM60 sahaja sebulan.
“RM60 itu termasuk makan minum pakai dan untuk anak anak. Bila saya minta lebih, dia kata komitmen banyak,” jelasnya.
Katanya, keadaan itu membuatkan dia terpaksa meminjam daripada ahli keluarga atau mengambil upah membuat kuih bagi membantu menjelaskan komitmen bulanan.
“Suami saya seorang narsisistik. Depan masyarakat dia nampak sempurna, suka menderma, sopan santun dan baik. Tapi realitinya, dia suka mencarut, menghina, mendera mental dan kedekut dengan saya serta keluarga,” tambahnya.
Wanita itu turut mendedahkan dia selalu terfikir ingin membunuh diri kerana terlalu tertekan dengan masalah itu, bagaimanapun dia perlu terus kuat untuk anak-anak serta ibunya.
“Sekarang saya sedang berusaha mencari kerja untuk menyara anak-anak dan ibu saya. Tapi belum ada rezeki.
“Saya dapat banyak temu duga, cuma rezeki belum sampai,” katanya. – KOSMO! ONLINE