fbpx

Gempa Turkiye: Dengar wanita meraung bawah bangunan runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN SMART MAS-01 bertungkus-lumus mengesan mangsa tertimbus runtuhan di Gaziantep, Turkiye sejak 6 Februari lalu. – IHSAN SMART

PETALING JAYA – “Saya dengar laungan jeritan tiga kali sebelum suara itu langsung hilang.”

Demikian kongsi Pegawai Pa­sukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia MAS-01 (SMART), Inspektor Muhamad Zul Khairi Idris yang berada di Gaziantep, Turkiye sejak 6 Februari lalu.

Beliau yang ditugaskan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus dalam runtuhan bangunan di­sebabkan gempa bumi yang berlaku pada 6 Februari lalu, akui masih terngiang-ngiang jeritan mangsa pada hari pertama tiba di kawasan runtuhan sekitar hotel terletak di Nurdagi, Gaziantep.

Jelasnya, semasa operasi pencarian dia mendengar suara wa­nita meraung sebanyak tiga kali meminta tolong diselamatkan dari bawah runtuhan.

“Ketika itu, laungan yang didengari memang kuat dan bagi saya itu merupakan kudrat ter­akhir yang dia boleh beri untuk meminta dirinya diselamatkan. Apabila kami buat pencarian, kedudukan mangsa itu terlalu ‘dalam’ untuk kami selamatkan.

“Kami bersama-sama pasukan penyelamat tempatan cuba untuk mencari, namun tidak dapat me­nemukan mangsa itu. Akhirnya laungan itu beransur-ansur tidak didengari dan mang­sa belum lagi dijumpai hingga sekarang.

“Secara logiknya, setelah hampir dua minggu runtuhan berlaku, sukar untuk kita menemui mangsa yang hidup, tetapi saya yakin dengan keajaiban Tuhan, insya-Allah masih ada lagi yang terselamat, namun bergantung juga kepada kepada keadaan dia dalam runtuhan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujarnya yang telah bertugas selama setahun sebagai anggota SMART, paling menyayat hati apabila ramai ahli keluarga masih menunggu dengan penuh harapan di sekitar kawasan runtuhan semasa SAR sedang dijalankan.

“Kebanyakan ahli keluarga yang masih hidup akan membe­ritahu maklumat-maklumat pen­ting seperti lokasi terakhir ahli keluarga mereka semasa runtuhan berlaku bagi mudahkan SAR.

“Seperti semalam (kelmarin), ada seorang remaja lelaki naik basikal dan melihat-lihat kami. Remaja itu jelaskan tiga orang kakaknya masih ada di bawah runtuhan sementara dia dan bapa saudara terselamat.

“Jadi dia menunjukkan di mana lokasi terakhir dan jelaskan setiap seorang kakaknya berada di mana. Alhamdulillah, dengan bantuan penterjemah kami memahami dan buat pencarian di kawasan tersebut,” katanya.

“Saya dan pasukan masih dalam keadaan kuat dan tidak alami apa-apa kecederaan setakat ini. Bagi saya dengan niat nak membantu saudara sesama Islam, itu buatkan saya terus kuat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI