LANGKAWI – Pengunjung yang berada di pulau peranginan ini boleh menikmati fenomena ‘laut terbelah’ disebabkan air surut penuh di Pantai Tanjung Rhu, di sini minggu depan.
Pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 58, berkata, fenomena itu membolehkan pengunjung berjalan kaki merentasi beting pasir yang hanya akan kelihatan pada Selasa dan Rabu depan.
“Pengunjung dapat berjalan kaki sejauh kira-kira 600 meter (m) sehingga Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya dan Pulau Cabang.
“Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hidupan laut yang biasanya hanya ditemui ketika melakukan selam skuba seperti ikan sebelah, cacing laut, ketam dan pena laut,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, pengunjung juga dapat menyaksikan sendiri tapak sulaiman berkaki lapan yang biasanya turut terdampar di atas beting pasir tersebut.
Ujarnya, pengunjung dinasihatkan untuk tidak menyentuh atau membawa balik hidupan laut berkenaan sebaliknya hanya mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar.
Ujarnya, pengunjung mempunyai masa untuk berada di atas beting pasir tersebut selama kira-kira sejam sahaja, sebelum air laut kembali pasang.
“Pada Selasa pengunjung boleh mula berjalan pada pukul 6.45 pagi dan 7 pagi pada Rabu, dan pastikan pengunjung mengambil perhatian kepada bunyi wisel atau siren yang dikeluarkan oleh pihak bertugas untuk berpatah balik sebelum air pasang kerana air pasang dengan cepat,” ujarnya.
Zoher turut berpesan kepada pengunjung yang ingin ke sana untuk memakai kasut getah bertutup bagi mengelakkan kecederaan apabila terpijak objek tajam di atas beting pasir tersebut.