PETALING JAYA – Domino’s Pizza telah memeterai Memorandum (MoU) dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk menerajui program Jana Kerjaya – Belajar Sambil Bekerja (BSB) bertujuan untuk mengukuhkan kemahiran tenaga kerja menerusi program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Inisiatif belajar sambil bekerja (BSB) di bawah Jana Kerjaya ini sejajar dengan aspirasi Domino’s Pizza untuk mewujudkan tenaga kerja yang berilmu dan berupaya, demi menyokong operasi dan pertumbuhan syarikat di negara ini.
Melalui kerjasama tersebut, Domino’s Pizza menghantar sehingga 40 kakitangan sepenuh masanya yang terdiri daripada pengurus restoran, kakitangan restoran dan penghantar piza untuk menyertai program TVET.
Mereka diberi peluang memilih dua kursus asas iaitu Kawalan & Jaminan Kualiti Makanan atau Teknologi Operasi Restoran.
Selepas tamat kursus, peserta akan menerima Sijil Kecekapan daripada
UTHM.
Kedua-dua kursus adalah sebahagian daripada kursus sedia ada yang ditawarkan dalam bidang Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan denganKepujian yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Mengulas lanjut mengenai MoU tersebut, Ketua Eksekutif Domino’s Pizza, Shamsul Amree berkata, kerjasama ini membuka peluang kepada kakitangannya untuk mengejar impian dan mencapai potensi penuh masing-masing.
“Program ini jelas membuktikan komitmen kami untuk membolehkan kakitangan kami meningkat naik dalam kerjaya dengan fleksibiliti untuk belajar sambil bekerja dengan menerima pendapatan mampan.
“Kami mahu memastikan mereka yang menyertai kami untuk berkembang maju bersama Domino’s Pizza sambil kami berusaha menjadi Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) mampan yang menguasai setiap pasaran, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menerusi usaha sama ini, Domino’s Pizza juga akan memanfaatkan kepakaran UTHM untuk membangunkan program Perantis Ijazah yang unik untuk Domino’s Pizza, yang yang disesuaikan mengikut waktu kerja kakitangan dan juga modul khusus yang diperlukan untuk membina kerjaya dalam industri QSR.
Program Jana Kerjaya yang bermula pada awal Februari 2023 / akhir Mac 2023 telah disertai oleh lebih daripada 10 kakitangan dari cawangan Domino’s Pizza di seluruh negara.
Untuk menyertai program dan mendapatkan Sijil Kecekapan, peserta perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya satu tahun bekerja
dengan Domino’s Pizza.
Mereka yang menyertai program ini perlu memenuhi jam kredit yang ditetapkan meliputi latihan dan kelas sepanjang tempoh 19 minggu.
Peserta akan dinilai menerusi set jurnal pengalaman pembelajaran peribadi, kajian kes, temu bual dan penilaian prestasi.
Sesi tersebut termasuk pembelajaran bercampur yang dikendalikan secara fizikal di UTHM, di samping pembelajaran berasaskan pengalaman di Akademi Domino’s atau cawangannya.
Dalam pada itu, Domino’s Pizza juga memberi peluang untuk mengikuti Ijazah Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan UTHM kepada kakitangan yang mempunyai kelayakan sewajarnya. -KOSMO! ONLINE