fbpx

Dolla teringin buat persembahan di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOLLA

KUALA LUMPUR – Kumpulan wanita M-Pop popular tanah air, Dolla mengimpikan peluang beraksi dalam persembahan pentas di semua negeri di Malaysia termasuklah destinasi yang terkenal dengan jolokan Negeri Serambi Mekah, Kelantan.

Dolla yang baru sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Look At This mengakui, biarpun terdapat segelintir pihak yang sewenang-wenangnya menyifatkan mereka memberikan pengaruh tidak baik hanya disebabkan penampilan seksi, mereka hanya ingin berkarya dan memberi mesej positif kepada khalayak.

“Sejujurnya, untuk persembahan pentas, kami hanya ikut label punya perancangan. Kalau diberi peluang, kami akan beri persembahan yang terbaik,” kata salah seorang ahli kumpulan, Syasya kepada Kosmo! Online.

Ditemui pada majlis pelancaran single yang merupakan ciptaan Johan Gustafsson, Josefin Glenmark, Laurell Bake dan SYA itu, seorang lagi ahli kumpulan, Sabronzo yang berasal dari negeri tersebut berkata, bercuti di negari patuh syariah itu sudah beberapa kali namun tidak melakukan persembahan pentas.

“Rasanya kita pernah ke Kelantan sebelum ini. Namun atas urusan bercuti (bukan buat persembahan pentas). Saya asal dari kelantan,” ujar Sabronzo atau nama sebenarnya, Wan Sabrina Wan Rusli.

“Menjadi impian kami untuk buat persembahan di seluruh Malaysia (termasuk Kelantan) sebab kami mahu orang tahu tentang kewujudan muzik kami,” ujar Tabby pula.

Sungguhpun begitu, menyedari budaya, pemikiran atau ‘undang-undang’ di beberapa tempat atau individu, Dolla menjelaskan, mereka tidak pernah terfikir untuk menjolok sarang tebuan namun hanya ingin bekerja sebagai pelaku seni.

“Kami faham dan hormat semua orang punya pendapat atau nilai kehidupan. Mereka punya pandangan dalam beberapa perkara (berkaitan agama).

“Kami takkan cuba nak paksa pandangan kami dalam diri sebilangan orang. Hormat keputusan orang.

“Kami juga berpendapat, kita semua perlu hormat gaya hidup masing-masing sebagai rakyat yang baik. Kalau suka, teruskan tengok dan sokong dan kalau sebaliknya, toleh tempat lain.

“Bagaimanapun, satu fakta yang tak boleh dinafikan adalah Malaysia sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum. Dolla sendiri, kami ada Melayu dan Cina namun masih boleh berdiri teguh sebagai satu kumpulan sebab itulah istimewanya negara ini,” kata Dolla.

DOLLA hadir dengan single baharu berjudul Look At This yang mendapat respons positif para peminat.

Negeri Kelantan mengekalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang melarang persembahan oleh wanita di atas pentas, yang ditonton kaum lelaki.

Bagaimanapun, kerajaan negeri memberikan sokongan membenarkan persembahan asalkan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Look At This edaran Universal Music Malaysia mula menemui peminat menerusi digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 17 Februari (semalam).

Menurut Tabby, karya tersebut menceritakan tentang keyakinan diri.

“Lagu ini berkisar keyakinan diri dan tidak mempedulikan kata orang lain. Lagunya yang rancak juga memberi gambaran tentang keperibadian seseorang yang yakin dengan penampilan diri yang menarik,” kata Tabby. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI