WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) didakwa membelanjakan £318,000 (RM1.7 juta) dengan menggunakan peluru berpandu untuk menembak jatuh sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) yang didakwa belon milik penduduk tempatan berharga £10 (RM53), lapor akhbar Daily Star semalam.
Objek yang ditembak jatuh pada Ahad minggu lalu adalah peranti ketiga yang dikesan di langit Washington beberapa hari sebelumnya.
Perbualan antara juruterbang pesawat tempur yang berada di udara mendedahkan kekeliruan mengenai objek tersebut.
“Saya tidak benar-benar memanggilnya belon…Saya tidak tahu apa…Saya boleh melihatnya menggunakan mata saya,” kata seorang juruterbang.
Pegawai tentera kemudian menggambarkan objek itu sebagai sebuah ‘struktur berbentuk oktagon’.
Bagaimanapun, objek itu kemudian didakwa sebagai sebuah belon milik Briged Belon Bottlecap Illinois Utara. Blog briged itu baru-baru ini mendakwa belon miliknya yang diterbangkan telah hilang.
Belon itu didakwa hilang sekitar masa yang sama Presiden AS, Joe Biden mengarahkan peluru berpandu yang mahal untuk menembak jatuh sebuah UFO di kawasan itu.
Belon itu dipercayai mengelilingi dunia enam kali sebelum hilang, berharga sekitar £10 (RM52) dan merupakan belon Mylar perak 81 sentimeter yang digunakan oleh penggemar dalam penerbangan altitud tinggi untuk mendapatkan data cuaca. – Agensi