DEMAM Anugerah Juara Lagu (AJL) masih lagi terasa dan menjadi sebutan ramai peminat tanah air.
Kalau diimbas kembali, kesemua artis berhempas pulas melakukan yang terbaik demi memberikan persembahan yang terbaik bukan hanya untuk peminat, tetapi juga buat diri sendiri.
Bagaimanapun, penyanyi terbaik sahaja dinobatkan selaku pemenang, namun bukan soal kemenangan yang mahu diketengahkan.
Berbekalkan kreativiti dan idea di luar kotak, artis-artis tanah air tidak kemarau mempamerkan pembaharuan dan Gala minggu ini membawakan idea pelik persembahan dalam beberapa edisi AJL.
Hafiz Suip – Awan Nano
TANPA mengeluarkan kos tinggi untuk busana, penyanyi Hafiz Suip tampil dengan konsep serba ringkas apabila hanya memakai T-shirt lusuh dan seluar trek yang dilipat pada bahagian kaki. Bajet keseluruhan penyanyi itu melakukan persembahan pada pentas AJL26 (2012) menerusi lagu Awan Nano hanya bermodalkan RM50 yang menjadi kos pakaian paling murah sepanjang AJL.
Berbekalkan kos serendah itu, rezeki memihak kepada Hafiz apabila menerima durian runtuh dengan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM45,000 apabila dinobatkan sebagai Juara AJL26 sekali gus merangkul Anugerah Vokal Terbaik.
Hael Husaini, Dayang Nurfaizah – Haram
PERSEMBAHAN unik Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini pada pentas AJL33 (2019) menerusi lagu Haram antara yang diperkatakan ramai.
Duo serasi itu tampil dengan idea unik konsep air hujan yang turun di atas pentas sambil memegang sebatang payung ketika mendendangkan lagu yang dicipta oleh Hael dan Ezra Kong tersebut.Konsep berkenaan dibuat demi memberi impak mendalam untuk persembahan mereka.
Tuah berpihak kepada mereka apabila dinobatkan sebagai Juara AJL33.
Faizal Tahir – Hanyut
PADA edisi AJL25 (2011), Faizal Tahir membawa pulang kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Hanyut kerana tampil dengan idea di luar kotak.
Faizal pada awalnya bernyanyi di sebalik jeriji besi dan berada di atas sebuah platform tinggi dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat.
Namun pada pertengahan persembahan, dia tiba-tiba jatuh dan skrin di bawah platform tersebut memaparkan dia berada di dalam air sambil berusaha melepaskan ikatan tangannya.
Faizal kemudian naik semula ke atas dan muncul kembali di atas platform dalam keadaan basah kuyup.
Naim Daniel – Mainan
MESKIPUN tidak memenangi anugerah Persembahan Terbaik pada AJL37 baru-baru ini, namun Naim Daniel tetap menjadi sebutan ramai.
Dilabel sebagai persembahan ‘berani mati’, Naim tampil dengan aksi menyanyikan lagu Mainan dalam keadaan tergantung dan terbalik.
Lebih mengejutkan apabila ramai menjangka persembahan tersebut cuma separuh jalan, namun Naim kekal tergantung sehingga ke lirik terakhir nyanyiannya.
Banyak risiko yang akan terjadi bagi seseorang penyanyi untuk melakukan aksi demikian, namun apa yang dilakukan Naim difahamkan dipantau oleh pasukan profesional.
Aina Abdul – Sumpah
PERTAMA kali tampil pada pentas AJL iaitu edisi AJL34 (2020), Aina Abdul mencetuskan kontroversi apabila darah yang mengalir daripada gaun dipakainya dikatakan simbolik aksi bunuh diri. Bagaimanapun jelas Aina yang menyanyikan lagu Sumpah pada pentas tersebut, konsep sebenarnya adalah simbolik hati yang terluka mengenai kekesalan dan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu menamatkan riwayat dengan menikam dada.
Persembahannya bukan sahaja dikecam netizen, malah Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA) dan Public Health Malaysia tidak senang dengan aksi tersebut.
Disebabkan bercanggah dengan penyiaran stesen televisyen, persembahan Aina disekat dalam akaun YouTube TV3 kerana tidak sensitif dengan isu bunuh diri.