PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mahu setiap warganya diketengahkan sebagai penceramah agama selain mendapat tauliah mengajar.
Hasrat itu dikongsi Ketua Pegawai Eksutifnya yang baharu, Zamri Zainal Abidin.
Zamri berkata, bagi mencapai hasrat itu, setiap kakitangannya akan didedahkan dengan latihan bersesuaian sebelum didedahkan dengan pentas ceramah agama.
Menurutnya, mereka akan dilatih di pusat latihan YADIM terlebih dahulu sebelum memohon untuk mendapat tauliah mengajar daripada majlis agama Islam negeri.
“Kami akan dedahkan mereka dengan siri-siri tazkirah agam di pejabat YADIM sama ada di ibu pejabat dan negeri,” katanya selepas Majlis Serah Tugas Ketua Pegawai Eksekutif YADIM di sini hari ini.
Katanya, inisiatif itu bertujuan melonjak kedudukan YADIM sekali gus menjadi rujukan kepada semua pihak.
Zamri yang juga bekas Pegawai Tugas Tugas Khas kepada Perdana Menteri dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YADIM baharu bermula Rabu lalu menggantikan Tuan Kamarul Arief yang sebelum ini berkhidmat di badan dakwah itu sejak 2019. – KOSMO! ONLINE