fbpx

Warga emas tergolek, motosikal langgar lubang ‘maut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMA RUSLY terbaring selepas terlibat dalam kemalangan apabila motosikal ditungangnya melanggar lubang di Jalan Triang Lama, Bera kelmarin.

BERA – Seorang warga emas nyaris maut apabila motosikal ditungganginya melanggar lubang sebelum dia terjatuh ke atas jalan di Jalan Triang Lama di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, mangsa, Jama Rusly­ Amin, 76, cedera di lutut kanan dan calar di muka akibat terjatuh daripada motosikalnya.

Kejadian itu adalah yang ke­dua selepas kes seorang penunggang motosikal menemui ajal akibat terlanggar lubang di Temerloh minggu lalu.

Anak mangsa, Noradham Jama Rusly, 40, berkata, bapanya se­ring ke Bandar Triang dengan me­nunggang motosikal dan pada hari kejadian, lelaki itu keluar rumah seawal pukul 8 pagi.

“Bapa memang tahu jalan di situ selalu rosak, cuma semalam (kelmarin) dia tidak perasan lubang itu semakin besar.

“Lubang-lubang di situ ditutup dengan batu, mungkin abah tidak dapat kawal motosikal sebab faktor usia menyebabkan motosikal tergelincir,” katanya.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa telah memulakan kerja-­kerja baik pulih jalan petang semalam selain meletakkan kon dan tanda tanda sebagai peringatan kepada pengguna.

Sehubungan itu, Noradham berharap supaya jalan yang rosak ini dapat dibaiki dengan sempurna demi keselamatan pengguna jalan raya bukan sekadar menampal berulang kali.

“Saya sedia maklum, jalan itu telah dibaiki berulang kali tetapi masih berlubang di tempat yang sama, janganlah sekadar buat, bila berlubang tampal tapi cara kerja tidak berkualiti, biarlah buat betul-betul,” jelasnya.

Seorang ­penduduk, Azman Jainudin, 60, berkata, dia juga pernah kemala­ngan selepas terjatuh akibat terlanggar lubang di jalan sama ­minggu lalu.

Katanya, ketika itu tayar motosikal terperosok ke dalam lubang jalan menyebabkan dia terjatuh.

“Masa kejadian kira-kira pukul 8 malam, saya mahu ke Bandar Triang. Dalam keadaan gelap, saya tak perasan lubang, saya cedera di bahagian kaki dan ta­ngan kiri, selain sakit bahagian dada dan kepala akibat hentakan semasa jatuh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI