Seseorang didapati ketika solat rambutnya telah menutupi dahi, adakah sah solat orang tersebut?
Jawapan:
Pengertian sujud pada syarak ialah meletakkan dahi orang yang bersolat dengan menyentuhkannya secara langsung ke tempat sujud. Sujud merupakan salah satu daripada rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ia sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ia tidak dinamakan sebagai sujud.
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat).”
Antara syarat sah sujud ialah menyentuh atau menempelkan dahi yang terdedah ke tempat sujud serta melakukan sujud dengan tujuh anggota badan iaitu dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki. Hal ini berdasarkan hadis, sabda Nabi SAW:
“Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”
Bagaimanapun, tidak wajib didedah semua anggota tersebut kecuali dahi yang hendaklah terbuka tanpa dihalangi atau ditutupi oleh sesuatu. Rasulullah SAW memberikan pengertian khusus tentang wajibnya menyentuh atau menempelkan dahi pada tempat sujud ketika sujud, hal ini dijelaskan dalam salah satu hadisnya: “Ketika kamu sujud tetapkanlah keningmu (di tempat solat).”(Riwayat Ibnu Hibban)
Para ulama telah menetapkan batas minimum menempelkan dahi pada tempat sujud sekiranya hanya sebahagian dahi dapat menyentuhkan atau menempel pada tempat sujud. Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Sheikh
Ibnu Hajar al-Haitami V dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj: “Batas minimum sujud adalah sebahagian dahi menyentuh pada tempat solat (sujud).
Menempelnya sebahagian dahi pada tempat solat atau sujud, dicontohkan seumpama ketika seseorang sujud pada benda yang tidak muat untuk meliputi seluruh dahinya, seperti sujud pada tongkat atau di dahinya terhalang oleh sebahagian rambut yang menutupinya, sekiranya masih terdapat bahagian dari dahi yang terbuka dan terdedah serta menempel pada tempat sujud, maka dalam keadaan sedemikian, solatnya tetap dihukumkan sah, akan tetapi sujud dalam keadaan itu adalah makruh. Ini kerana sujud yang sempurna ialah dahi dapat menempel di tempat solat atau sujud tanpa terhalang oleh apapun.
Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi’e, Malik dan kebanyakan ahli ilmu.”
Beliau menyebut lagi: ”Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadis menyebutkan tujuh anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan jadi lapan, maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.”
Dapat difahami bahawa antara syarat sah sujud ialah menempel atau menyentuhkan sebahagian daripada dahi pada lantai dengan tidak berlapik, tetapi yang afdal ialah dengan menempel atau menyentuhkan semua bahagian dahi yang hadapan.
Walaupun sah tetapi sujud dengan hanya menempelkan sedikit atau sebahagian dahi itu hukumnya makruh melainkan ada keuzuran seperti terdapat pembalut disebabkan luka yang bertampal menutupi di bahagian dahi.
Kesimpulannya, jika terdapat sebahagian rambut yang menutupi dahi pada ketika sujud, maka solat itu sah, selama mana rambut yang terurai itu tidak sampai menutup dahi secara keseluruhannya. Namun, jika keseluruhan dahi tertutup dengan rambut maka sujudnya tidak sah.
Keadaan ini biasanya berlaku kepada lelaki yang solat tanpa penutup kepala seperti kopiah, sehingga rambutnya terurai di dahinya ketika sujud.