CAMERON HIGHLANDS – Permintaan yang terlalu tinggi serta faktor musim menyebabkan sebahagian pembekal sayur-sayuran serta buah-buahan di sini, mengimportnya dari negara pembekal lain.
Kebanyakan negara pembekal bagi brokoli dan kubis bunga adalah diimport dari China, Australia dan Thailand.
Keledek pula dari Vietnam, Indonesia dan Thailand sementara pisang kaki dari Korea Selatan, New Zealand serta China.
Kata seorang sumber pembekal sayur di sini yang enggan dikenali, faktor sayur-sayuran bermusim juga menyebabkan sebahagiannya terpaksa diimport kerana kekurangan hasil pengeluaran di Cameron Highlands.
“Tidaklah 100 peratus sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual di Cameron Highlands diimport. Ada juga yang dihasilkan secara lokal, namun jika diimport, ia ekoran permintaan tinggi dari pengguna,” jelasnya.
Kata sumber itu, ramai datang ke tanah tinggi itu untuk membeli sayur-sayuran disebabkan permintaan tinggi itu, pihaknya terpaksa mengimport sayur luar untuk memenuhi keperluan berkenaan.
Menurut data Jabatan Pertanian Cameron Highlands, keluasan fizikal tanaman sayur-sayuran dan lain-lain di lokasi peranginan tersebut berjumlah 6,052 hektar secara keseluruhan.
Daripada jumlah berkenaan, sayur-sayuran merangkumi 3,747.75 hektar ataupun 62 peratus daripada jumlah keseluruhan tanaman di Cameron Highlands.
Jagung yang popular di Cameron Highlands termasuk dalam kategori lain-lain hanya diusahakan seluas 65 hektar atau 1 peratus dari keseluruhan tanaman pertanian di Cameron Highlands atau 1.7 peratus daripada keluasan tanaman sayur.
Dalam pada itu, sumber itu berkata, kebanyakan petani telah beralih ke arah menanam tomato kerana ia lebih menguntungkan dan kualiti lebih bagus.