KOTA BHARU – Pas dan Perikatan Nasional (PN) masih membuka pintu buat Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekiranya beliau berminat untuk kembali dan meneruskan karier dalam bidang politik.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN sentiasa berlapang dada dengan menerima bekas Ahli Parlimen Rembau itu sekiranya beliau berhasrat untuk menyertai gabungan tersebut.
Menurutnya, setakat ini, PN juga masih belum berbincang sama ada untuk menamakan Khairy Jamaluddin sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan atau tidak sekiranya menyertai PN dan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita (PN) belum menerima permohonan daripada beliau. Kita akan fikir kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai untuk beliau bertanding jika menyertai PN.
“PN tetap berlapang dada malah terbuka menerima beliau dan pemimpin atau ahli UMNO yang dipecat atau digantung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Asrama Tahfiz Al-Quran Al-Ikhwan di Kampung Kota di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, berdasarkan situasi semasa, beberapa tokoh dan ahli UMNO telah dipecat atau digantung keahlian mereka dilihat masih belum mempunyai hala tuju politik yang jelas.
Katanya, sehubungan itu, pihaknya terbuka dan mengalu-alukan mereka yang kecewa dengan keadaan yang berlaku dalam UMNO untuk menyertai PN.
“Kami juga mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli Pakatan Harapan yang tidak bersetuju dengan persepakatan politik bersama kluster mahkamah,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE