KANGAR – Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 500,000 pengunjung pada Pesta Angin Timur (PAT) yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Mac ini di Kampung Sungai Padang di sini.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, PAT kali ini adalah yang pertama diadakan secara terbuka selepas dilbuat secara hibrid dan dalam talian pada tahun sebelumnya akibat pandemik Covid-19.
“Kita menjangkakan penganjuran kali ini lebih meriah dan sememangnya berpotensi menarik kehadiran lebih pelancong untuk merasai sendiri pengalaman menarik menerusi acara dan aktiviti yang diaturkan.
“Kita mengalukan kehadiran pelancong dari seluruh negara dan negara jiran untuk memeriahkan PAT,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Pelbagai pengisian menarik disediakan pada PAT 2023 antaranya pertandingan sukan rakyat, kenduri rakyat, malam keindahan Islam, pameran agensi dan jualan kraf, sukan lasak bendang, larian angin timur dan pelbagai lagi.
Penganjuran Pesta Angin Timur bertujuan mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa sebagai salah satu produk ikon industri pelancongan negeri Perlis.-KOSMO! ONLINE