PUTRAJAYA – Menjelang ketibaan misi bantuan kemanusiaan Malaysia yang pertama di Syria pada Ahad ini, Pasukan Peninjau Khas Malaysia kini sedang sibuk di ibu kotanya iaitu Damsyik.
Semalam, kumpulan dianggotai seramai 20 petugas pelbagai agensi itu mengikuti taklimat senario pasca gempa bumi daripada pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Syria.
Menurut hantaran Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan, sesi khas berkenaan disampaikan sendiri pengerusinya, Khaled Hboubati di ibu pejabat badan sukarela bukan kerajaan itu.
Beliau pada taklimat tersebut menjelaskan situasi bencana alam itu akibat tempias gempa dari selatan Turkiye minggu lalu memburukkan krisis kemanusiaan di Syria lebih sedekad.
Paling perit, negara rantau Asia Barat itu yang bergelut isu perang saudara sejak 12 tahun lepas turut berdepan sekatan antarabangsa yang menjejaskan fasiliti kesihatan awamnya.
Pasukan Malaysia yang diketuai sendiri Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad berjaya memasuki Damsyik pada Rabu lepas.
Taklimat PBSM Syria itu turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob dan Konsul Kehormat Malaysia ke Syria, Sameer Al-Koor serta wakil dari PBSM Malaysia.
Kumpulan peninjau khas Malaysia itu dibentuk kerajaan bagi mencari gambaran sebenar dan membuat penilaian awal di lapangan mengenai apa bantuan diperlukan mangsa gempa. – KOSMO! ONLINE