LIGA Malaysia (Liga M) akan membuka tirai pada 24 Februari ini dengan perlawanan melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) membuat perhitungan dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Menariknya, Liga M musin ini dijangka meriah selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Astro selaku rakan penyiar rasmi dan RTM selaku rakan penyiar Liga M 2023.
Lebih mengujakan, kehadiran Astro dan RTM bakal menjanjikan siaran perlawanan serta liputan lebih komprehensif, sekali gus meletakkan kemeriahan Liga M di tahap kemuncak serta melonjak nilai komersial.
Sudah tentu ia memperkasakan Liga M ke satu tahap baharu kerana zaman moden, pengkomersialan perlu menjana pendapatan untuk kelab kekal berdaya saing.
Tidak dinafikan, kelab-kelab bola sepak memperoleh pendapatan melalui hak penyiaran, cenderamata serta hak penamaan stadium sebagai tambahan kepada tajaan dan jualan tiket stadium.
Pendapatan komersial yang meningkat akan menyaksikan mereka boleh menarik minat jenama besar dan menjalinkan kerjasama menerusi perjanjian, lebih besar jenamanya, maka lebih bagus perjanjian komersial dilakukan.
Menerusi Astro, penulis percaya Liga M secara perlahan-lahan mencapai khalayak global selain material yang akan menarik orang ramai dalam jumlah besar, sekali gus mencetus idea perniagaan dan manfaat daripada perjalanan saingan bola sepak itu.
Pada masa sama, aksi-aksi terhebat bola sepak kini menjadi produk yang boleh dijual di seluruh dunia dan menjulang Liga M di persada antarabangsa.
Ketika ini, saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dianggap paling menghiburkan dan menarik jumlah penonton yang tinggi, jadi tidak menghairankan mereka juga mempunyai keupayaan dalam menarik jumlah wang jauh lebih besar nilainya.
Justeru, peluang besar sebegini harus digunakan sebaik mungkin oleh kelab-kelab pada Liga Super untuk menonjolkan prestasi diri serta mengemukakan idea menarik komersial bagi menarik penajaan memandangkan hala tuju Liga M menerusi platform penyiaran berada di landasan tepat.
Percaya atau tidak, komersial dalam sukan adalah tentang membuat keuntungan daripada sukan dan pastinya melibatkan tiga kumpulan.
Pertama, manfaat komersial dalam sukan menyaksikan hasil pendapatan boleh membantu ahli sukan meningkatkan prestasi diri, manakala organisasi boleh meningkatkan penyertaan selain menarik sokongan ke venue perlawanan.
Seterusnya, media turut meraih manfaat daripada pengkomersialan sukan terutamanya menerusi cerita-cerita sukan berprofil tinggi yang dijangka menarik perhatian penonton, pendengar dan pembaca.
Akhirnya, pihak penaja sudah pasti memberi manfaat menerusi pembiayaan ke atas organisasi dan ia penting untuk perkembangan dan pembangunan sukan dan sebagai balasan, liputan berprofil tinggi memastikan profil syarikat dan produk mereka melambung tinggi.