ALOR SETAR – Anggota bomba bantuan yang cedera digigit beruang matahari di Yan, Jerai pada awal bulan ini tidak serik untuk berkhidmat dengan pasukan tersebut, malah lebih bersemangat.
Mohd Nizam Hamid, 27, menganggap insiden mengerikan itu antara cabaran yang harus ditempuhi oleh anggota bomba sepertinya.
“Tidak serik atau trauma kerana ini cabaran yang harus saya tempoh sebagai anggota bomba. Saya tetap semangat untuk kembali bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Besar, Kota Sarang Semut di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Nizam menerima kunjungan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang menyampaikan pampasan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berupa faedah hilang upaya sementara akibat insiden di luar jangka itu.
Bercerita lanjut, Mohd Nizam memberitahu, ketika kejadian, dia ditugaskan untuk mencari haiwan itu yang sesat dan berkeliaran di kawasan sawah Kampung Kabu Sepuluh, Yan.
“Beruang itu bersembunyi di celah pokok padi dan menerkam ke arah saya. Doktor beritahu urat tangan saya putus, tetapi dapat sambung semula.
“Alhamdulillah, saya harap dapat pulih seperti sediakala. Saya juga bersyukur kerana pampasan ini dapat tampung perbelanjaan harian ketika cuti sakit sehingga 21 Februari ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Dr. Mohammed Azman, kesedaran terhadap kepentingan mendaftar dan mencarum di bawah skim tersebut masih rendah sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah sekiranya ditimpa bencana sewaktu bekerja.
“Kalau peratusan yang mendaftar (bekerja sendiri) dalam 20 peratus sahaja. Di Kedah, cuma 34,000 pekerja sendiri yang mencarum SKSPS, walaupun terdapat ramai yang bekerja sendiri dalam kalangan pesawah, nelayan dan penjaja.
“Mereka ini terdedah kepada pelbagai kemalangan. Skim ini juga meliputi kemalangan ketika pergi dan pulang bekerja,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE