PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus berjuang mempertahankan hak Malaysia di mahkamah dalam usaha memastikan lampiran kedua (sekiranya ada) berhubung perintah rampasan aset Petronas oleh waris Kesultanan Sulu dibatalkan seperti lampiran pertama sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia bagaimanapun belum menerima apa-apa notis berhubung lampiran kedua itu sekaligus tidak dapat mengesahkan kebenarannya.
“Sekiranya (dakwaan perolehi arahan mahkamah) mereka terbukti benar, ini bukan kali pertama percubaan waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset Malaysia di Luxembourg berdasarkan ‘award’ akhir yang diberikan oleh peguam Sepanyol yang pelantikannya sebagai penimbang tara dibatalkan oleh mahkamah sama sebelum ini.
“Sebaliknya, percubaan baharu yang didakwa mahu melampirkan aset ini akan mengikuti jejak lampiran pertama dan gagal, yang baru-baru ini dibatalkan oleh mahkamah Luxembourg,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azalina, seperti yang telah kerajaan perjuangkan sebelum ini, Malaysia akan terus mempertahankan haknya di muka pengadilan dan memastikan lampiran buat kali kedua itu dibatalkan juga oleh Mahkamah Luxembourg.
“Ingin kami ingatkan orang ramai bahawa waris Kesultanan Sulu ini dan penasihat mereka sekali lagi cuba untuk memutarbelitkan kebenaran di hadapan media seperti yang telah mereka lakukan sebelum ini di mahkamah.
“Kes ini berkait skandal timbang tara yang sah dan melemahkan dua perkara paling asas dalam institusi aturan undang-undang iaitu menghormati undang-undang serta mematuhi perintah mahkamah dan Malaysia akan berusaha keras untuk mempertahankan haknya,” tegas beliau.
Terdahulu, portal media antarabangsa hari ini melaporkan bahawa mahkamah di Luxembourg telah mengeluarkan perintah rampasan baharu terhadap dua aset Petronas.
Perintah rampasan buat kali kedua yang bertarikh 14 Februari lalu itu, didakwa dikeluarkan mahkamah tersebut selepas waris Kesultanan Sulu cuba menguatkuasakan ‘award’ bernilai AS$ 15 bilion yang sebelum ini didakwa diperolehi mereka.- KOSMO! ONLINE.