KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd., Low Thiam Hock atau Repco Low dihukum penjara setahun dan didenda RM5 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan cuba mengelirukan pasaran saham pada 1997.
Kes itu berlarutan sejak 1999 selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengheret Repco Low, 60, ke mahkamah di bawah Akta Industri Sekuriti 1983 atas dakwaan cuba menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikan selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan denda yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 2016.
Mahkamah bagaimanapun berpendapat, hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Sesyen adalah keterlaluan dan menggantikannya dengan penjara setahun manakala denda RM5 juta dikekalkan.
“Sabitan adalah selamat, rayuan terhadap sabitan ditolak. Bagaimanapun, hukuman penjara lima tahun adalah keterlaluan dan ditukarkan kepada setahun,” ujar Hakim Azhar.
Beliau turut membenarkan permohonan pasukan pembelaan menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan. Hakim Azhar mengekalkan jumlah jaminan RM1.3 juta yang diberikan Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah.
Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memohon mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan penangguhan pelaksanan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan.
Beliau memohon jaminan RM1.3 juta yang dikenakan Mahkamah Sesyen serta pasport diserah sebagai syarat jaminan, dikekalkan.
Pada 1999, Thiam Hock didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn. Bhd. untuk membeli saham Repco Holdings dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Perbuatan itu didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran. – KOSMO! ONLINE