PETALING JAYA – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menang kes terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) berhubung pemecatan dua pekerja bank tersebut masing-masing Sarimah Awang Senik dan Sethupaty Thiaganajan.
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur memutuskan dua ahli NUBE yang dipecat oleh HSBC kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja empat tahun lalu sebagai tindakan tidak sah dan memerintahkan mereka dikembalikan ke jawatan asal.
“Mahkamah mendapati pemecatan pihak yang menuntut (Sarimah dan Sethupaty) adalah tidak wajar dan pihak yang menuntut telah dipecat secara tidak sah oleh Bank kerana menyertai aktiviti kesatuan sekerja.
“Mahkamah memerintahkan supaya kedua-dua ahli NUBE itu dikembalikan ke jawatan asal di Bank dalam tempoh 30 hari dari tarikh “award” diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Solomon berkata, dalam keputusan pada 2 Februari 2023 itu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, Rajeswari Karupiah membenarkan tuntutan Sarimah dan Sethupaty atas alasan kenyataan meremehkan yang didakwa dibuat oleh kedua-dua mereka yang membawa kepada pemecatan sebahagian daripada pertikaian perusahaan dianjurkan oleh NUBE.
Tambahan pula, katanya, Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 (di mana peruntukan imuniti termaktub ke atas kesatuan sekerja berhubung dengan tindakan tort terhadap mereka) tidak meletakkan sebarang pengecualian atau had mengenai perkataan yang mungkin dipilih.
Menurut beliau, selepas mempertimbangkan dengan teliti kertas kausa dan perbicaraan, Mahkamah Perusahaan memberi keputusan memihak kepada Sarimah dan Sethupaty dan telah memerintahkan pihak yang menuntut itu dikembalikan semula ke jawatan asal mereka atau yang setara di HSBC.
“Tanpa kehilangan kekananan, perkhidmatan, bonus dan faedah lain, monetari atau selainnya termasuk pelarasan gaji dan kenaikan yang mereka akan peroleh sekiranya tidak dipecat,” katanya.
Jelas beliau, Sethupaty dan Sarimah memfailkan tuntutan berhubung pemecatan yang tidak adil pada tahun 2019 dengan hujah mereka hanya menjalankan tugas dan fungsi kesatuan sekerja.
*Mereka telah berpegang kepada Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang jelas memberika kekebalan kepada kesatuan sekerja dan ahlinya terhadap sebarang tindakan yang dibuat dalam bidang tort.
“Sethupaty, Kerani Am, manakala Sarimah pula Jurubank Perkhidmatan Pelanggan di HSBC. Peguam Khaizan Shahrizad mewakili kedua-dua Sethupaty dan Sarimah.
“Keputusan ini adalah sinar harapan bagi kesatuan sekerja dan ahli-ahli mereka yang hak asasi kesatuan sekerja dipijak secara terang-terangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE